Pemain muda negara yang beraksi di Jerman, Annil Vigneswaran meletakkan sasaran untuk bermain di saingan divisyen pertama negara itu iaitu Bundesliga.

Bercakap kepada Free Malaysia Today, Annil memberikan komen mengenai perpindahannya ke sebuah kelab yang beraksi di divisyen tiga iaitu SV Waldhof Mannheim 07.

Menurut Annil, beliau telah berbincang dengan beberapa kelab di Austria dan Jerman tetapi memilih SV Waldhof kerana kedudukan dan bantuan yang diberikan oleh kelab kepadanya untuk mendapatkan visa.

“Menyertai pasukan ini membuatkan saya bangga, kerana saya telah melakukan banyak pengorbanan dan bekerja keras untuk mencapai tahap ini,” katanya.

Annil Vigneswaran mempunyai cita-cita untuk beraksi dalam saingan Bundesliga satu hari nanti dan beliau turut menggesa pemain muda negara meletakkan sasaran yang tinggi dalam karier mereka.

““Saya menggesa pemain muda untuk mempunyai sasaran yang tinggi. Jangan biarkan sesiapa memberitahu anda apa yang anda boleh atau tidak boleh lakukan. Perkara utama adalah berusaha, bekerja keras dan sentiasa memberikan yang terbaik,” tambah Annil.

Pada masa yang sama, Annil baru sahaja menubuhkan sebuah syarikat iaitu DW Consultancy dimana beliau mahu membantu mana-mana pemain muda negara yang mahu berkarier di Jerman.

Sebelum menyertai SV Waldhof, Annil Vigneswaran beraksi bersama satu lagi kelab yang juga beraksi dalam saingan divisyen tiga Jerman iaitu SV Sandhausen. Selain itu, pemain kelahiran Kajang, Selangor ini pernah beraksi dengan beberapa kelab Jerman lain seperti SGV Freiberg dan Freiburger FC.

Annil juga pernah dipanggil untuk beraksi bersama skuad B-22 tahun negara kendalian Brad Maloney pada 2021 untuk menghadapi saingan peringkat kelayakan AFC B-23 tahun di Ulaanbaatar, Mongolia pada tahun 2021 lalu.

Pemilihan beliau dalam skuad B-22 Tahun negara ketika itu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat dan Brad kemudiannya menjelaskan mengapa beliau membawa Annil ke Mongolia.

“Keputusan telah pun dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini,” jelas Maloney.